" Kami sudah lama bersahabat tapi entah kenapa sudah tidak seperti dulu.."
"...Saya sangat sayangkan dia sebagai seorang sahabat tetapi saya tak tahu kenapa dia boleh berubah.."
Sahabat,
Hadiahkan sebuah kemaafan. Kemaafan buat dia kerana meminggirkan diri ini. Kemaafan buat diri sendiri kerana membuka ruang untuk terluka.
Cemburu, hasad dan dengki menghilangkan ketenangan. Kerana itu, kita sendirilah yang meracuni jiwa sendiri. Yang melemahkan semangat ada dua perkara. Pertama prasangka, kedua hati busuk. (Hamka, Pribadi Hebat)Cemburu? Ya, di saat dia mulai menjauh. Mulai menyayangi yang lain. Lalu diri sendiri diketepikan. Tidak, orang yang berperibadi teguh itu tidak lemah tika sendiri. Bahkan dia umpama magnet yang akan memberi daya tarikan kepada yang lain untuk hadir. Buat menyebarkan ilmu juga pengetahuan. Tapi itu cuma akan berlaku bila mana diri sendiri membuka ruang buat insan lain. Bukankah erti sahabat itu pada memberi?
Prasangka? Ya. Bukankah sahabat yang rapat itu cerminan peribadi diri? Andai benar dia sahabat sejati, andai ada khilaf pasti diusahakan membetulkan. Jika tidak, apakah manfaat yang ada pada seseorang yang melihat khilaf, lalu pergi meninggalkan sahabatnya? Atau cuma kita yang berprasangka pada perubahannya? Membina pelbagai entiti di jiwa, memikirkan sahabat itu berfikir itu dan ini tentang diri sendiri sedangkan sahabat itu lagi punya halnya yang tersendiri?
Ubatilah hati itu. Carilah pemilik hati. Bina peribadi yang teguh. Diri yang sibuk menuntut juga menyebar ilmu. Buat memperkukuh agama dan bangsa.
Saat engkau berani, ketika itulah engkau punyai peribadi. Selama keberanian masih ada dalam jiwa suatu bangsa, betapa besar kesulitan yang dihadapi, percayalah engkau akan bangkit kembali.(Hamka, Pribadi Hebat)
No comments:
Post a Comment